Páginas

Sunday, 14 June 2015

Pesakit Koma Di Mekah Dibawa Pulang 22 Jun

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 14 JUNE 2015


Pesakit dari Terengganu yang sedang koma di Hospital Ajyaad, Mekah, Mamat Jusoh, dijangka akan dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Jun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata pihaknya bersama keluarga akan berbincang dengan pihak hospital di sini bagi membawa pulang pesakit secepat mungkin.


Katanya, beliau amat bersyukur kerana syarikat penerbangan MAS bersetuju untuk membawa pulang Mamat ke Malaysia pada tarikh tersebut dari Jeddah.

“Kita begitu komited untuk membawa pulang Mamat (Jusoh) ke Malaysia seawal mungkin bagi memastikan keluarganya (di Malaysia) dapat menjaganya di rumah.

“Kita juga membawa seorang doktor pakar dari Terengganu supaya dia dapat berbincang dengan doktor yang merawatnya di sini untuk mengetahui apakah keperluan-keperluan yang perlu disediakan oleh keluarga pesakit,” katanya selepas melawat Mamat di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria, dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus Dato’ Basir Ismail.

Ahmad Razif berkata pihaknya tekad untuk membawa pulang pesakit secepat mungkin berikutan arahan pemindahan pesakit oleh hospital berkenaan ke hospital lain di luar kota Mekah bermula Ramadan ini.

Katanya ini kerana apabila tiba bulan Ramadan, semua hospital di sini terpaksa dikosongkan untuk persediaan menerima pesakit yang datang membuat umrah ketika bulan puasa.

“Ini sudah menjadi polisi semua hospital yang terdapat di sini. Saya dimaklumkan sekiranya Mamat tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia, dia akan ditempatkan di Hospital Ibnu Sina di mana ianya terletak 30km dari Jeddah,” katanya lagi.

Mamat Jusoh menerima rawatan di hospital di sini sejak dua bulan lalu selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan ibadah umrah, ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi memandangkan beliau masih memegang visa lawatan yang sah ketika kejadian itu.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment