Páginas

Wednesday 3 June 2015

Hari Pertama Festival Kenyir 2015 Tarik 11,000 Pengunjung

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 2 JUNE 2015


Festival Kenyir 2015 berjaya menarik seramai 11,000 pengunjung dengan hasil jualan dianggarkan RM250,000 pada hari pertama acara itu yang bermula kelmarin (Ahad).

Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu turut menyasarkan hasil jualan sehingga RM1 juta sepanjang festival  seminggu itu.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata sasaran pengunjung sepanjang festival tersebut adalah seramai 70,000 orang.

“ Walaupun festival kali ini hanya berlangsung selama seminggu bermula 31 Mei dan akan berakhir pada 6 Jun, kita meletakkan sasaran yang tinggi jika dibandingkan dengan tahun lepas.

“Pada tahun lepas, Festival Kenyir 2014 yang berlangsung selama sebulan telahpun menarik 150,000 pengunjung ke Tasik Kenyir,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2015 di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengurus Besar Ketengah, Dato’ Wan Mat Amin Wan Daud.

Tambahnya, festival kali ini menampilkan sedikit kelainan dengan adanya tarikan baru di Tasik Kenyir.

“Selain dari bazar jualan dan pertandingan-pertandingan air, tahun ini kita memperkenalkan ‘Kenyir Waterpark’ kepada pengunjung yang mula dibuka pada 31 Mei lalu.

“Pada hari pertama ianya dibuka, lebih 300 pengunjung telahpun berkunjung ke Kenyir Waterpark,” katanya.

Festival Kenyir 2015 turut melibatkan 83 usahawan yang terdiri daripada orang persendirian dan jabatan-jabatan kerajaan.

Antara produk yang dijual sepanjang festival tersebut adalah seperti pakaian, kraftangan, makanan sejuk beku, herba serta pakej pelancongan.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment