Terengganu bakal menghantar pasukan Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (SSTTB) serta bantuan kewangan berjumlah RM200,000 kepada mangsa gempa bumi di Sabah.
Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya telah meluluskan peruntukan tersebut dengan memberi mandat kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat untuk mengetuai misi kemanusian selama tiga hari dan berakhir 15 Jun itu.
Katanya, umum mengetahui, SSTTB mempunyai kekuatan 5,000 ahli di mana sebelum ini pernah membantu mangsa bencana banjir besar di Kelantan dan juga Pahang.
“Pada kali ini pula, kita akan menggunakan pengalaman dan kekuatan sebahagian ahli SSTTB bagi membantu mangsa gempa bumi di Sabah
“Bantuan ini akan disalurkan terus kepada mangsa terlibat dan pihak sukarelawan akan terlebih dahulu mengenal pasti keperluan semasa untuk mangsa-mangsa bencana itu. Mereka pastinya memerlukan pelbagai barangan asas, sesi kaunseling dan ubat-ubatan,” katanya.
Katanya, SSTTB yang terlatih ini akan membantu dari semua segi keperluan semasa untuk mangsa bencana gempa bumi ini.
“Kita masih menunggu pengesahan dari pihak berwajib iaitu Pusat Bencana Negeri Sabah dan selepas perolehi data itu, kita salurkan bantuan secepat mungkin kepada mangsa memerlukan
“Saya mahu bantuan itu disegerakan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa gempa ini.,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Ahmad Razif juga menzahirkan kesedihan rakyat negeri Terengganu diatas apa yang berlaku sekarang ini di Sabah.
Teganukita/MediaJertih
No comments:
Post a Comment