Páginas

Tuesday 16 June 2015

Terengganu Serah RM200 Ribu Kepada Sabah

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 15 JUNE 2015


Kerajaan negeri menyerahkan bantuan berjumlah RM200,000 kepada Sabah sebagai tanda keprihatinan rakyat Terengganu terhadap mangsa gempa bumi yang melanda daerah Ranau pada 5 Jun lalu.


Misi bantuan Kemanusiaan Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (SSTTB) yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat telah menyampaikan cek kepada Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Teo Chee Kang yang mewakili Ketua Menteri Sabah Dato’ Seri Musa Aman .

Rozi yang mewakili Menteri Besar, Dato ‘ Seri Ahmad Razif Abd Rahman turut menyatakan Terengganu sedia membantu jika Sabah memerlukan bantuan lain untuk diagihkan kepada mangsa gempa bumi tersebut. di kediaman ketua menteri itu

“Misi kemanusiaan ini turut membuka peluang kepada Sabah jika mereka memerlukan apa-apa bantuan lain dan Terengganu bersedia membantu mangsa gempa bumi.

“Kami mempunyai 5,000 ahli SSTTB yang bersedia sepanjang masa untuk menghulurkan bantuan dalam apa-apa situasi,” katanya dalam satu kenyataan.


Turut hadir pada majlis penyerahan di kediaman Ketua Menteri Sabah itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan), Samiun Salleh, Setiausaha Kerajaan Sabah, Tan Sri Datuk Sri Panglima Sukarti Wakiman, dan Pengerusi Majlis Belia Terengganu, Zaidi Muda.

Beliau turut memberitahu, wakil SSTTB telah meninjau keadaan di kawasan yang berlaku bencana serta berjumpa dengan pemimpin setempat seterusnya berhubung dengan seketriat untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Teo Chee Kang bagi pihak Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Musa Aman mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Terengganu.

“Bencana luar biasa berlaku di Sabah ini telah menyebabkan kita memerlukan perbelanjaan besar bagi membaiki infrastruktur yang rosak di Ranau dan bantuan daripada Terengganu akan di gunakan bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi.

“Bantuan ini menunjukkan semangat kekitaan dan 1 Malaysia dalam kalangan negeri di negara ini,” katanya.

Teo turut memberitahu gempa bumi yang berlaku telah menyebabkan pendapatan malim gunung terjejas berikutan mereka bergantung kepada aktiviti pendakian sebagai punca pendapatan.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment