Páginas

Sunday 28 June 2015

Kerjasama Dengan Universiti Madinah Laksana Program Pendidikan Berkembar

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 25 JUNE 2015


Kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan Universiti Madinah melalui Institut Al Quran Terengganu (IQT) bagi melaksanakan program pendidikan berkembar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program itu akan melalui beberapa peringkat sebelum pelajar dihantar untuk menyertainya.


“Tahun ini, kita akan pilih 50 pelajar tingkatan empat dahulu untuk belajar di Sekolah Imtiaz Bukit Kluang, Besut dan ditempatkan dalam kelas Syahadah Ulul Albab. Mereka yang dipilih ini sekurang-kurangnya telah menghafaz 20 juzuk Al-Quran.

“Mereka akan belajar sains tulen disamping kitab-kitab lama dan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar ini akan melanjutkan pelajaran di IQ untuk menyertai program berkembar bersama Universiti Madinah itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Majlis Penyampaian Dana Raya & Dana Bakti Remaja di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik.

Ahmad Razif berkata, apabila pelajar itu selesai menamatkan pelajaran tersebut, mereka akan bekerja dengan kerajaan negeri.

“Pelajar-pelajar ini akan diberi jawatan sebagai ulama atau pakar-pakar dalam bidang agama mengikut kesesuaian,” katanya.

Program Syahadah Ulul Albab itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak serentak dengan pelancaran Sekolah Imtiaz Bukit Kluang, Besut pada 6 Julai ini semasa lawatan beliau ke Terengganu.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment