Páginas

Sunday 14 June 2015

2,307 Koperasi Sekolah Jana Perolehan RM321.9 Juta Tahun 2014

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 11 JUNE 2015


Sebanyak 2,307 buah koperasi sekolah yang berdaftar di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) berjaya menjana perolehan kira-kira RM321.9 juta pada tahun lalu.


Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Abdullah berkata daripada jumlah itu Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) mencatatkan perolehan bersih semua koperasi sekolah bagi pelaksanaan projek lawatan di seluruh negara sebanyak RM127,000.

“Perolehan yang dijana ini melibatkan 110 buah projek lawatan yang dilaksanakan oleh lebih 35 buah koperasi sahaja.

“Manakala bagi tiga bulan pertama tahun ini bermula Januari, perolehan dicatatkan mencecah RM14,000 yang mana dijana oleh 14 buah projek lawatan sahaja melibatkan kira-kira tujuh buah koperasi sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penganugerahan Hos Terbaik Pelancongan Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan 2105 di Homestay Teluk Ketapang, Kuala Nerus, malam tadi.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Pengerusi ANGKASA Negeri Terengganu , Mohamed Jais Hassan.

Tambahnya, ANGKASA turut berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh koperasi sekolah di mana mereka juga menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Untuk tahun ini, ANGKASA menyasarkan lima buah sekolah untuk menjana pendapatan pendapatan sebanyak RM1 juta atau lebih.

“Sehingga tahun 2020, jumlah itu dijangka akan terus meningkat sehingga 50 buah koperasi sekolah yang mampu menjana pendapatan demikian,” katanya.

Pada majlis itu, tiga buah sekolah menerima anugerah hos lima bintang manakala 11 lagi dianugerahkan hos empat bintang.

Bagi hos lima bintang, koperasi sekolah tersebut menerima wang tunai sebanyak RM5,000 manakala hos empat bintang menerima wang tunai berjumlah RM1,500.

Tiga buah koperasi sekolah yang menerima anugerah hos lima bintang tersebut adalah Koperasi SMK Chalok Berhad, Setiu, Koperasi SMK Pasir Gudang JB Berhad dan Koperasi SMK Gombak Setia Berhad.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment