Fasilisiti bersepadu yang pertama di dunia itu melibatkan pembangunan logi bio-metionina milik CJ dan platform tiokimia milik Arkema dirasmikan pembukaannya hari ini oleh Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Dr. Abu Bakar Mohamad Diah; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Seri Jebasingam Issac John; Pengerusi Arkema, Thierry Le Henaff dan Pengerusi CJ Group, Sohn Kyung Shik.
Fasiliti bernilai RM2.1 bilion di kawasan seluas 70 hektar itu melonjakkan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang menghasilkan bio-metionina ‘hijau’ yang bersifat mesra alam.
Dipromosi secara bersama oleh Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan ECERDC, projek itu mempunyai potensi pelaburan keseluruhan sebanyak RM3 bilion dalam tempoh 10 tahun dan mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan ‘hijau’ menjelang tahun 2020.
Ahmad Razif berkata, kehadiran CJ dan Arkema merupakan satu detik yang sangat membanggakan untuk Terengganu.
“Projek ini menandakan kepentingan bioteknologi sebagai salah satu sektor ekonomi utama bagi Terengganu yang bersifat saling melengkapi dengan industri minyak dan gas yang sudah lama bertapak di negeri ini,” ujarnya.
Teganukita/MediaJertih
No comments:
Post a Comment