Páginas

Tuesday 23 June 2015

Terengganu Buat Persiapan Awal Hadapi Banjir

AUTHOR: NORAINI JUSOH 22 JUNE 2015


Kerajaan negeri melakukan persiapan lebih awal dan rapi  berdepan musim banjir  tahun ini apabila sudah menyiapkan keperluan bekalan, pusat pemindahan banjir dan mengenalpasti kawasan selamat bagi pendaratan helikopter.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhamad Pehimi Yusof, berkata bagi memudahkan proses penghantaran makanan kepada mangsa banjir, pihak pejabat daerah diminta bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) negeri bagi mengenalpasti lokasi yang bersesuaian sebagai tempat pendaratan helikopter.

“Kita masih lagi ada bajet untuk menyediakan tempat pendaratan helikopter. Kita minta pejabat daerah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) untuk meneliti perkara ini.

“Pada tahun lepas kita berdepan dengan masalah tempat pendaratan tidak ada, helikopter tidak dapat turun, jalan darat pula putus menyebabkan bekalan makanan tidak sampai kepada mangsa banjir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat JKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan persiapan banjir untuk tahun 2015 di Primula Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Pehimi berkata, pihaknya mengenalpasti terdapat lapan pusat pendaratan helikopter yang boleh dibina berdasarkan peruntukan yang ada.

“Kita masih ada lapan lokasi dari segi bajet yang diperuntukan tetapi tidak semestinya kita hendak habiskan bajet itu.

“Di Besut, terdapat dua pemintaan satunya untuk tempat pendaratan helikopter yang boleh akses di Hospital Jerteh dan satu lagi di kawasan Hulu Besut malah Hulu Terengganu turut memerlukan perkhidmatan yang sama,” katanya.

Katanya, kos setiap pusat pendaratan helikopter dianggarkan bernilai antara RM60,000 hingga RM80,000 dan Kemaman antara daerah yang sudah mempunyai kemudahan itu.

Sementara itu katanya, JKM bertindak proaktif apabila membuat persediaan awal untuk mengenalpasti tempat-tempat pemindahan dan menyediakan bekalan di pusat pemindahan.

“JKM telah mengambil tindakan awal menghadapi kemungkinan banjir pada tahun ini dan kini dalam proses memenuhkan keperluan di pusat-pusat pemindahan,” ujarnya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment