Páginas

Wednesday 3 June 2015

Kerajaan Negeri Terima Bayaran Dividen RM16.57 Juta Dari TDM Berhad

AUTHOR: NORAINI JUSOH 3 JUNE 2015


TDM Berhad, syarikat milik kerajaan Terengganu yang terlibat dengan sektor perladangan dan penjagaan kesihatan telah membayar dividen dan keuntungan berjumlah RM16,568,315.40 kepada kerajaan negeri dan agensi di bawahnya.


Pembayaran tersebut dibuat kepada agensi-agensi kerajaan negeri Terengganu, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAW) serta Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi keuntungan yang diperoleh dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, daripada jumlah itu pembayaran dividen bagi agensi-agensi kerajaan negeri sebanyak RM14,442,500.40.

“Agensi yang menerima bayaran dividen ini ialah Terengganu Incorporated Sdn Bhd (RM10,532,307.45), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (RM2,952,000.00), Permodalan Terengganu Berhad (RM336,780.00), LTAW (RM320,210.55), ABB Nominee (Tempatan) Sdn Bhd (RM180,000.00), Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (RM78,384.00) dan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (RM42,818.40).

“Manakala, bayaran usahasama keuntungan berjumlah RM2,125,815.00 telah dibayar kepada LTAW sebanyak (RM1,811,242.00) dan Maidam (RM314,573.00) berikutan kedua-dua agensi ini masing-masing mempunyai tanah ladang kelapa sawit seluas 1,336 dan 792 hektar yang dibangunkan TDM Berhad dimana perjanjian usahasama tersebut telah terjalin sejak tahun 1996 dan 1997,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan replika cek bayaran keuntungan oleh Pengerusi TDM Berhad, Leftenan Jeneral Tan Sri Dato’ Wan Abu Bakar Wan Omar kepada wakil LTAW, Maidam dan agensi-agensi kerajaan negeri setelah selesai mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad.

Ahmad Razif berkata, pembayaran dividen dan perkongsian keuntungan yang dibuat TDM Berhad itu adalah berdasarkan kepada peningkatan hasil pendapatan TDM Berhad sebanyak RM386.1 Juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding sebanyak RM370.7 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

“Untuk tahun kewangan berakhir pada Disember 2014, TDM Berhad telah bersetuju membuat bayaran dividen sebanyak 1.5 sen sesaham, iaitu peningkatan sebanyak 0.5 sen berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment