Páginas

Sunday 14 June 2015

Terengganu Hantar Skuad Sukarelawan TTB Ke Sabah Bermula Jumaat Lalu

AUTHOR: SURIATI ALI 14 JUNE 2015

 

Kerajaan negeri mula menghantar Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (SSTTB), mulai Jumaat lalu bagi memantau keperluan mangsa gempa bumi di Sabah.


Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat, berkata pihaknya menghantar 10 ahli SSTTB sebelum disusuli beberapa pasukan lain secara berperingkat-peringkat dalam usaha membantu mangsa-mangsa terlibat.

Katanya, jumlah ahli SSTTB bakal dihantar untuk membantu  akan ditentukan kemudian sebaik sahaja pasukan pemantau SSTTB selesai menjalankan misi mereka.

“Kita akan berhubung dengan beberapa pihak berkaitan, terutama pihak berkuasa di negeri itu bagi mengetahui lebih lanjut perkara yang diperlukan, selain memantau sendiri keadaan penduduk terutama pelajar berdekatan tempat kejadian.

“Sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk menyediakan keperluan berkaitan seperti ubat-ubatan, barangan keperluan asas dan makanan,”katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum beliau bersama lima ahli SSTTB bertolak ke Sabah, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, hari ini.


Dato’ Rozi memberitahu, lima ahli SSTTB yang bertolak Jumaat lalu ada memaklumkan, kebanyakan mangsa di lokasi kejadian masih mengalami trauma teruk dan mereka memerlukan sokongan serta kekuatan untuk kembali menjalani kehidupan normal.

“Semua perkara berbangkit diambil perhatian serius bertujuan memudahkan tugasan untuk menghantar  SSTTB lain dan individu berkaitan ke lokasi kejadian,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment